Setiap upacara dalam adat perkahwinan yang dijalankan ada
tatacara komunikasi tertentu. Seseorang yang ingin berkahwin perlu menjalani
empat proses bermula daripada merisisk, meminang, bertunang dan perkawinan.
Setiap satunya mempunyai adat dan cara yang berlainan.
Adat Merisik
Sudah menjadi
kelaziman yang ibu bapa masyarakat adat perpatih dan adat temenggung berusaha sedaya upaya dan
penuh teliti mencari seorang calon yang sesuai untuk dijadikan menantu. Usaha
mencari ini dipanggil sebagai merisik. Merisik merupakan satu proses sebelum
melakukan peminangan. Sebelum berkunjun ke rumah si dara, ibu bapa biasanya
memilih beberapa orang saudara yang terdekat utuk menjadi wakil. Hal ini
kerana, pada kebiasaannya pihak lelaki yang akn merisik pihak perempuan
bersesuai dengan perbilangan adat:
Untung
anak lelaki cari-carikan,
Untung
anak perempuan nanti-nantikan.
Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan sekiranya,
wakil perempuan yang memulakan proses ini. Adat sendiri telah membayangkan
kemungkinan akan berlaku perkara tersebut melalui kata-kata adat yang
perempuan diiras-iraskan. Maksunya keluarga perempuan berhak menonjolkan
anak gadis mereka agar dipinang orang.
Adat Meminang
Adat meminang adalah satu adat susulan setelah Adat merisik dilakukan.
Kebiasaannya adat meminang dilakukan setelah ibubapa si lelaki bersetuju
untuk menjadikan gadis yang dirisik bakal menantunya. Meminang adalah membawa tepak sirih yang lengkap diisi
dengan alatnya seperti daun sirih yang telah dipilih dari daun yang elok,
kapur, gambir, bunga cengkih dan pinang yang telah dikacip untuk
dipersembahkan kepada keluarga si gadis.
Adat Bertunang
Adat pertunangan
dilakukan setelah adat meminang selesai setelah kedua belah pihak iaitu pihak
lelaki dan perempuan sudah setuju anak-anak mereka ditunangkan. Adat
pertunangan adalah tahap ketiga dalam adat perkahwinan. Peringkat ini ada satu
tahap menentukan tarikh melangsungkan perkahwinan dan juga dalam tempoh
pertunangan itu hingga hari perkahwinan. Tempoh pertunangan biasanya mengikut
kehendak kedua belah pihak untuk membuat persediaan hari perkahwinan Selain itu, tempoh pertunangan ini merupakan tempoh pemerhatian dan percubaan bagi si gadis. Ketika tempoh ini si gadis hendaklah menjaga diri seperti tidak boleh keluar rumah sesuka hati. Si gadis juga perlu belajar memasak, menjahit dan mempersiapkan diri untuk menjadi isteri sepanjang tempoh pertunangan.
Pengucapan bahasa
bagi mereka dalam tempoh pertunangan yang sering digunakan oleh masyarakat
Melayu untuk menasihati si gadis dan si lelaki adalah seperti “kamu sekarang
darah manis jangan buat tak tentu hala”.
Perkahwinan
Adat Perkahwinan adalah upacara kemuncak bagi kedua-dua pasangan pengantin
yang disatukan, iaitu mereka disahkan menjadi suami-isteri mengikut hukum
syarak dan saluran adat. Dalam Adat Perkahwinan seseorang lelaki akan melalui
empat tahap proses adat iaitu tahap pertama bernikah, tahap kedua membatalkan
air sembahyang, tahap ketika adat persandingan dan tahap keempat adat
menziarah. Keempat-empat tahap dalam proses Adat Perkahwinan ini dijalankan
mengikut tertib adat dan mempunyai tatacara komunikasi tertentu iaitu
komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.
Komunikasi lisan adalah cara interaksi menggunakan pengucapan bahasa
kiasan, pepatah-petitih, gurindam, seloka, pantun, syair dan lain-lain yang
mempunyai pengertian tertentu dalam Adat Perkahwinan. Komunikasi bukan
Lisan adalah perlakuan seseorang, alat-alat bunyian seperti rebana, kompangm
benda-benda yang meberi simbol makna kepada seseorang seperti tepak sirih,
sirih junjung, keris, tengkolok, tepung tawar, bunga rampai, bunga telur dan
lain-lain lagi.
Walaupun masyarakat Melayu yang mengamalkan dua
adat yang berbeza iaitu Adat Temenggung dan Adat Pepatih tetapi perlaksanaan
dalam Adat Perkahwinan tidak banyak berubah. Perbezaan yang nyata dalam
kedua Masyarakat Melayu ini adalah dari segi loghat yang digunakan iaitu dialek
pertuturan yang membezakan Masyarakat Melayu Kuala Kangsar dan Negeri Sembilan Apa yang menarik, Pepatah-petitih perbilangan adat yang digunakan oleh
masyarakat Melayu di kedua-dua tempat tersebut adalah hampir sama. Begitu juga
setiap upacara adat dijalankan pasti terdapat penggunaan gurindam, pantun dan
seloka yang merupakan komunikasi lisan mereka.
Faktor geografi, kawasan dan daerah tidak dapat memisahkan cara pelaksanaan
adat istiadatnya kerana masyarakat Melayu di kedua-dua kawasan kajian adalah
daripada satu rumpun bangsa dan agama sebagaimana “Adat di atas tumbuh, pusaka di
atas tempat, adat negeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung, adat
bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah”.